Kit ujian Covid-19 kendiri Salixium mudah digunakan, hasil keputusan tepat [METROTV]

Kit ujian Covid-19 kendiri Salixium mudah digunakan, hasil keputusan tepat [METROTV]
July 27, 2021 Editorial Reszon

Amir Abd Hamid – Julai 27, 2021 4:07PM Source: Harian Metro

 

Shah Alam: Mudah digunakan di rumah, menghasilkan ketepatan 100 peratus dan ujian sensitiviti mencecah 91.23 peratus adalah ciri kelebihan yang ada pada kit ujian kendiri pantas antigen Covid-19 pertama buatan Malaysia, Salixium.

Salixium dihasilkan MeDKAD Sdn Bhd (MeDKAD) yang turut diiktiraf Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob berkata, Salixium adalah produk tempatan daripada inovasi dan bakat anak tempatan.

Menurutnya, tercetusnya idea itu pada April lalu apabila MeDKAD berkolaborasi dengan Reszon Diagnostics International Sdn Bhd selepas mendapati kes Covid-19 semakin membimbangkan.

“Kami merasakan sudah sampai masa perlunya Malaysia mempunyai kit kendiri ciptaan tempatan supaya stok itu dalam kawalan tempatan serta membuktikan ia inovasi yang bukan calang-calang.

“Hasil ujian yang dilaksanakan kami menunjukkan bahawa sensitiviti Salixium adalah 91.23 peratus, manakala ketepatannya ialah 100 peratus.

“Keputusan sama juga dihasilkan daripada sampel menggunakan Salixium dengan keputusan oleh makmal IMR KKM,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif pihaknya adalah mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk sama dari luar negara.

Menurutnya, apabila bergantung kepada produk import, ada masalah harga tinggi apabila berlakunya permintaan tinggi dan stok terhad.

“Daripada segi lain kita boleh juga kawal kualiti, mutu dan memastikan barang digunakan tiada unsur haiwan atau berkaitan halal yang agak sensitif bagi kalangan kita. Halal itu penting untuk membezakan kami dengan produk import luar dan ini juga adalah syarat untuk kami eksport ke Arab Saudi.

“Salixium sudah mula dijual 19 Julai lalu menerusi dalam talian, manakala jualan di farmasi bermula pada 21 Julai lalu dengan harga RM39.90 seunit,” katanya.

Ditanya sasaran jualan, Ezuan berkata pihaknya menjangkakan untuk bulan pertama ini sejuta kit dijual dan pada Ogos dijangkakan pihaknya sudah bersedia untuk eksport di Asia Tenggara dengan jualan dijangkakan meningkat kepada lima juta kit.

Buat masa ini katanya, separuh daripada sasaran penjualan sejuta kit sudah pun dicapai.

Salixium digunakan dengan mengambil calitan air liur dan hidung menggunakan dua batang alat calitan dan keputusan boleh diperolehi dalam masa 10 hingga 15 minit apabila ia menunjukkan satu garisan (negatif) atau dua garisan (positif).

Ezuan berkata, antara sebab diperkenalkan uji kendiri itu untuk menggalakkan orang ramai melakukan saringan lebih awal atau persediaan pertahanan diri lapisan pertama secara sendiri.

“Jika rasa bergejala atau kontak rapat dengan pesakit Covid-19, boleh lakukan sendiri di rumah tanpa perlu bergaul dengan orang luar.

“Andainya positif Covid-19 maka boleh terus asingkan diri dan hubungi KKM untuk tindakan seterusnya.

“Kalau tidak mereka perlu pergi ke klinik, bercampur gaul dengan orang lain dan risiko menjangkiti pula. Kita nak saringan berlaku lebih awal, Insha-Allah cara ini boleh membantu,” katanya.