Kit ujian kendiri Malaysia bakal ke luar negara

Kit ujian kendiri Malaysia bakal ke luar negara
July 21, 2021 Editorial Reszon

Alzahrin Alias – Julai 21, 2021 1:27PM Source: Berita Harian

KUALA LUMPUR: MeDKAD Sdn Bhd (MeDKAD), pengeluar dan penjual kit ujian kendiri pantas antigen COVID-19 buatan Malaysia yang pertama menyasar untuk menembusi pasaran luar negara dalam jangka masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob, berkata buat masa ini, syarikat akan memberi fokus dan keutamaan terlebih dahulu kepada pasaran tempatan.

Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan kit ujian COVID-19 itu digunakan secara meluas di Malaysia bagi membendung pandemik COVID-19 sebelum dipasarkan ke negara lain.

“Perancangan untuk memasarkan ke negara luar seperti Asia, Eropah dan Asia Barat dalam kapasiti besar memang ada, tetapi keutamaan adalah kepada Malaysia terlebih dahulu.

“Pada masa sama, syarikat juga dalam perancangan menambah lebih banyak sumber supaya dapat mencapai sekurang-kurangnya tujuh kali ganda jumlah pengeluaran ketika ini.

“Pengeluaran perlu diperkukuhkan terlebih dahulu,” katanya kepada BH.

Ezuan berkata, kapasiti kemudahan pengeluaran MeDKAD ketika ini adalah 200,000 hingga 300,000 unit sehari atau tujuh hingga sembilan juta unit sebulan.

Beliau berkata, pihaknya yakin mampu menampung permintaan yang semakin meningkat dan akan mempercepatkan proses pengeluarannya.

Malah, katanya, MeDKAD mempunyai saintis dan pakar perubatan sendiri yang mempunyai kemampuan untuk bukan hanya bagi membangunkan kit ujian, malah bekerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan luar negara bagi memastikan keberkesanan produk berkenaan.

Selain itu, MeDKAD juga, katanya, dijangka menerima pensijilan halal bagi ‘Kit Ujian Pantas Antigen Salixium COVID-19’ keluarannya pada Oktober ini.

“Jika kapasiti pengeluaran dan pensijilan halal diberikan, ia akan mengukuhkan lagi kit ujian kami ini untuk pasaran antarabangsa.

“Syarikat berasakan adalah penting mendapatkan pensijilan halal bagi memberikan keyakinan kepada pengguna.

“Malah, sebagai syarikat tempatan, sudah tentu halal adalah menjadi tanggungjawab utama kami,” katanya.

Kit ujian pantas Antigen Salixium COVID-19 sudah mula dijual kepada orang awam bermula Isnin lalu.

Kit Salixium itu dapat mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia dan persampelan melalui hidung.

Ia mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk dilakukan dan hasilnya dinilai oleh jalur yang dapat dilihat dengan jelas, ia akan mengesahkan kewujudan antigen.

Sebagai pengawalan prosedur, jalur warna kit yang kelihatan itu mengesahkan persampelan yang betul tanpa mengira sama ada wujud atau tiada antigen SARS-CoV-2 dalam sampel terbabit.

Ezuan berkata, pihaknya juga melaksanakan ujian sebanyak 242 kali dengan mendapatkan sampel air liur atau calitan hidung dengan Salixium.

Beliau berkata, hasil ujian yang dilaksanakan menunjukkan bahawa sensitiviti Salixium adalah 91.23 peratus, manakala ketepatannya ialah 100 peratus.

Ditubuhkan pada 2016 dan beribu pejabat di Shah Alam, MeDKAD adalah syarikat teknologi kesihatan yang memberi perkhidmatan kepada syarikat untuk menguruskan manfaat perubatan dengan lebih baik.