Samuel Chua – August 2, 2021 Source: msn news
PETALING JAYA: Kit ujian kendiri Covid-19 yang kini berada di pasaran penting dalam memerangi koronavirus kerana dapat meningkatkan ujian, kata dua pakar kesihatan.
Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kit ujian kendiri RTK-antigen akan membolehkan orang ramai mengawal dan bertanggungjawab terhadap kesihatan serta keselamatan masing-masing.
“Bagi mereka yang mempunyai gejala ringan atau gejala yang tidak jelas, ujian kendiri ini dapat membantu mereka mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri sendiri dan ahli keluarga.
“Jika mereka menjadi kontak rapat pula, kit ujian kendiri ini dapat membantu mereka memantau diri sendiri dan mendapat rawatan lebih awal sekiranya telah dijangkiti virus,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan beberapa kit ujian kendiri untuk kegunaan di negara ini. Ini termasuk satu kit yang menggunakan swab hidung dan mulut, serta empat lain yang bergantung kepada sampel air liur.
Lee berkata, kit ujian kendiri juga dapat membantu menyaring kumpulan orang yang ramai kerana dapat diketahui sekiranya seseorang positif Covid-19 dalam tempoh kurang 20 minit.
Selain itu katanya, keputusan kit berkenaan akan dipautkan dengan aplikasi MySejahtera.
Laporan pada Jumaat lalu menyebut hasil ujian daripada Salixium, iaitu kit ujian kendiri buatan Malaysia, kini diintegrasikan dalam sistem aplikasi MySejahtera seterusnya membolehkan pengguna menghantar keputusan mereka terus kepada KKM.
“Pada masa akan datang, aplikasi MySejahtera boleh menjadi pasport perjalanan yang merangkumi butiran vaksinasi dan ujian negatif hasil kit ujian kendiri. Ini akan memberikan lebih banyak kebebasan pergerakan kepada orang ramai,” katanya.
Lee berkata, ujian swab hidung dan mulut mempunyai ketepatan lebih tinggi untuk mengesan beban virus, selain kurang intrusif berbanding ujian swab biasa.
Bagaimanapun katanya, kit ujian kendiri tidak patut menghalang orang ramai divaksin kerana itu yang menjadi keutamaan negara buat masa ini.
Menurutnya, walaupun penggunaan kit ujian kendiri menjadi sebahagian daripada strategi kebangsaan, kerajaan patut memfokuskan segera terhadap peningkatan sistem kesihatan awam.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Subramaniam Muniandy.berkata, harga kit ujian kendiri mesti berpatutan.
Katanya, kit berkenaan yang diluluskan oleh Institut Penyelidikan Perubatan boleh menjadi alat penting dalam mengawal wabak.
“Ini akan membolehkan orang ramai membuat ujian pada waktu dan tempat yang memudahkan mereka,” katanya.